PUT YOUR TRUST TO ALLAH...100% INSYA-ALLAH (^-^)
Bismillahirrahmanirrahim
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Moga kita sentiasa dalam rahmat dan redhaNYA
InsyaAllah :)
Ustadz, Saya ada kemusykilan
tentang haid wanita. Yang saya tahu perempuan dalam haid dilarang melakukan
puasa dan sembahyang, mengaji Alquran, tetapi tiada larangan untuk berzikir dan
berdoa. Pertanyaan saya, boleh tdk ustadz tolong berikan hujah yaitu dalil
al-Quran/Hadis tentang haid yang menjelaskan perkara diatas. terima kasih.
Jawab:
1. Telah ijmak (sepakat) para
ulamak bahawa wanita yang dalam haid dan nifas diharamkan mengerjakan solat dan
juga puasa (termasuk puasa Ramadhan). Puasa Ramadhan wajib diqadha, adapun
solat tidak perlu diqadha. Dalil larangan solat dan puasa tersebut ialah hadis
Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan:
Nabi s.a.w. telah bertanya
kaum wanita: “Bukankah kesaksian seorang wanita sama seperti separuh kesaksian
seorang lelaki?”Mereka menjawab: “Ya”. Baginda lalu berkata; “Itu tanda
kurangnya akal wanita”. Baginda bertanya lagi: “Bukankah jika kamu kedatangan
haid, kamu tidak boleh mengerjakan solat dan berpuasa?”. Mereka menjawab: “Ya”.
Baginda lantas berkata: “Itu tanda kurangnya agama wanita” (HR Imam al-Bukhari
dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.).
2. Adapun hukum membaca
al-Quran, terdapat khilaf di kalangan ulamak seperti berikut:
A) Menurut Jumhur ulamak
(yakni pandangan teramai ulamak termasuk Imam-Imam mazhab empat); Diharamkan ke
atas orang yang berhadas besar membaca al-Quran dengan lidahnya sekalipun satu
ayat. Mereka berdalilkan hadis dari Ibnu Umar yang menceritakan Rasulullah
bersabda;”Janganlah wanita dalam haid dan orang yang berjunub membaca
sesuatupun dari al-Quran” (HR Imam at-Tirmizi dan Ibnu Majah). Berdalilkan
hadis ini, jumhur ulamak memutuskan; orang-orang yang berada dalam haid dan
junub dilarang membaca al-Quran dengan lidah. Adapun membaca dengan hati (tanpa
menggerakkan lidah), diharuskan.
B) Imam Malik berpandangan;
Diharuskan wanita dalam haid dan nifas membaca al-Quran dari ayat-ayat yang
dihafalnya jika dibimbangi takut hilang dari ingatannya jika tidak dibaca
sepanjang tempoh haid atau nifasnya. Namun, orang berjunub dilarang sama sekali
membaca al-Quran.
C) Terdapat ulamak-ulamak
yang menganggahi pandangan jumhur ulamak di atas iaitulah Imam Daud az-Dzahiri,
Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi. Menurut mereka; harus
bagi orang berjunub dan begitu juga wanita yang kedatangan haid membaca
al-Quran keseluruhannya. Di kalangan Salaf, pendapat ini ada diriwayatkan dari
Ibnu ‘Abbas dan juga Ibnu al-Musayyab. Dalil mereka ialah hadis dari Saidatina
‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. sentiasa berzikir
kepada Allah pada setiap ketika/masanya” (HR Imam Muslim) dan membaca al-Quran
termasuk di dalam pengertian zikir. Adapun hadis yang dijadikan dalil oleh
jumhur tadi, hadis tersebut adalah dhaif mengikut penilaian ulamak-ulamak
hadis.
3. Mengenai zikir dan doa,
tidak ada nas (dalil dari al-Quran atau as-Sunah) yang melarang wanita yang kedatangan
haid dan nifas dari melakukannya. Oleh itu, ia kekal sebagai harus (tidak
dilarang). Dalam kaedah Fiqh ada dinyatakan “Sesuatu itu kekal dalam hukum
asalnya selagi tidak ada dalil yang mengubahnya atau mengecualikannya dari
hukum asal”.
Dari keterangan di atas, kita
dapat melihat bahawa ruang untuk wanita dalam haid dan nifas beribadah adalah
luas seluas ruang doa dan zikir itu sendiri walaupun mereka tidak dibolehkan
solat, puasa dan membaca al-Quran (mengikut pandangan jumhur tadi).
Berikut ibadah-ibadah yang
boleh dilakukan oleh wanita yang berada dalam haid dan nifas:
1. Berdoa dengan apa sahaja
doa termasuk dari al-Quran
2. Beristighfar; termasuk
istighfar dari al-Quran
3. Berzikir; sama ada bertahlil,
bertahmid, bertasbih dan sebagainya.
4. Berselawat kepada Nabi
5. Mendengar bacaan al-Quran
6. Menghadiri/mendengar
majlis ilmu (yang diadakan di tempat lain selain masjid)
7. Mengulang hafalan al-Quran
(mengikut pandangan Imam Malik tadi)
8.
Membaca buku-buku agama termasuk kitab-kitab hadis
9.
Bersedekah
10. Membuat kebajikan kepada
orang lain
Bagi doa, istighfar dan zikir
yang diambil dari al-Quran hendaklah dibaca dengan niat untuk berdoa, berzikir
dan beristighfar, bukan dengan niat membaca al-Quran.
Wallahu a’lam
Rujukan:
1.
Tamam al-Minnah, Syeikh Adil bin Yusuf al-Azzazi, jil. 1. Hal 144-145.
2.
Laman Fiqh Anda (http://fiqh-am.blogspot.com/).
3.
Haid Membawa Berkah, Lissa Malike dan Asmawati, hal 74.
Posted by USTADZ AHMAD
ADNAN FADZIL
WANITA IBARAT MAWAR BERDURI
WARDATUL SYAUQA
~~~selamat beramal~~~
http://bintisumayyah.blogspot.com/2011/03/put-your-trust-to-allah.html
Tidak ada komentar:
Posting Komentar